Pokok Gaharu merupakan sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika dan telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak dahulu lagi. Semua bahagian pokok gaharu, dari batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik. Nama sains gaharu ialah Aquilaria malaccensis, bagaimanapun beberapa spesies lain dalam genus Aquilaria turut dikenali sebagai gaharu.

Pokok gaharu boleh ditemui di Bangladesh, Bhutan, India, Indonesia, Iran, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura dan Thailand. Kayu Gaharu terkenal di seluruh dunia dengan pelbagai panggilan, Chen Xiang bagi masyarakat Cina, Jin-Ko (Jepun) dan Oud atau Oode di kalangan bangsa Arab.

Ia juga digunakan oleh masyarakat secara meluas sejak turun-temurun, malah ada yang mengatakan kayu gaharu dari pokok gaharu telah digunakan sejak zaman Firaun sama ada untuk upacara keagamaan atau bahan untuk membuat minyak wangi.

 

Pokok gaharu atau dikenali juga di Malaysia dengan nama lain seperti depu, karas atau engkaras merupakan pokok besar yang boleh mencapai ketinggian sehingga 40 meter tingginya. Diameter batangnya pula boleh mencapai sekitar 60 cm. Gaharu merupakan sejenis tumbuhan yang tumbuh di kawasan hutan hujan tropika, terutamanya di tanah rendah sehingga ke kawasan yang ketinggiannya sehingga 270 meter daripada paras laut. Taburan pertumbuhan pokok gaharu /depu secara geografinya meliputi kawasan Asia tenggara, India dan China. Gaharu boleh hidup di semua jenis tanah kecuali kawasan paya dan berair.

Secara keseluruhan terdapat lapan jenis pokok gaharu di dunia tetapi di Malaysia hanya ada empat jenis iaitu, Karas, Candan Gajah, Candan Gunung dan Cendana. Bagi masyarakat Malaysia, pokok gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria Malaccensis hanya boleh didapati di dalam hutan belantara dan jumlahnya pula dilaporkan semakin sedikit atau hampir pupus. Kegiatan mencari kayu gaharu secara haram menjadikan tumbuhan itu kini semakin pupus kerana harganya, sama ada kayu (heartwood) atau minyak (damar) yang dihasilkan pokok itu adalah amat bernilai tinggi, lebih mahal dari harga emas.

Tarikan kayu gaharu Malaysia dan nilainya yang amat tinggi merupakan magnet kepada pencari-pencari haram kayu gaharu terutamanya dari Thailand untuk menceroboh hutan-hutan negara ini sehingga ke Sarawak untuk mendapatkan tumbuhan berharga itu.

 

Sekilogram kayu gaharu jenis karas dianggarkan bernilai di antara RM5 ribu hingga RM60 ribu, Candan Gajah (RM180 ribu hingga RM200 ribu) dan Candan Gunung (RM1 juta) manakala harga seliter minyaknya pula bernilai 10 kali ganda dari kayunya. Pokok gaharu boleh tumbuh di dalam hampir semua keadaan dengan penjagaan yang minimum, dan boleh mencecah ketinggian sehingga 40 meter manakala jejari batang pokoknya boleh membesar sehingga 60 cm.

Bagaimanapun bagi pokok gaharu jenis Candan Gunung, ia hanya boleh tumbuh di kawasan yang mempunyai ketinggian 1,500 kaki dari aras laut, menjadikan ia lebih sukar ditemui dan dibiak.